Monday, December 31, 2007

Tahun Baru

Aku berjalan di kota tua
Yang terisi dengan duka dan nestapa
Ratapan rakyat yang menderita
Kerana susah mereka
di katakan takdir yang maha kuasa

Yang disanjung hanya yang kaya
Yang di rai hanya yang berkuasa
Habis kalau rakyat yang hidupnya sempit
Makan pun semekut apa ada ruang bersalam
memohon berkat pemimpin agar kolam simpati
mengalir mengubah takdir

Hidup ini berplatformkan pembohongan
Kalau jujur jiwa mu kan terkubur
Kalau pandai lidah bermain madah
Hidup yang susah nerscaya bertukar mudah

Yang tipu hidup-hidup
Kan berdiri seperti pahlawan
Yang jujur lurus berbendul
Kan diam umpama manikam
Itulah kehidupan.....

Kalau di lihat dari kolam bawahan.....

Thursday, December 27, 2007

Hati-hati Teman Ku.

Enak kalau pena bermain di pasir putih
Bisa alpa derita karena tintanya
Tapi kalau yang kau coret cuma kepalsuan pada rakyat
Lebih baik berhenti bung !
Sebelum dosa itu menikam kalbu mu
Sebelum dosa itu memakan sendi-sendi saraf mu
Lebih baik berhenti bung...

Rakyat udah cukup derita
Menangis
Sambil meratap takdir dan pilihan hidup
Tapi
Bung masih akur dengan tinta-tinta dosa itu
Seolah akan berganti emas dari kertas yang bung coret itu

Ingat bung...
Ada pihak yang memerhati
Ada pihak yang ngak puas hati
Ada pihak yang mahukan ganti rugi
Karena coretan bung selama ini
Menyadarkan yang terlena
Mengerakan yang tidak bernyawa
Jangan bung gantikan
Yang hak dengan yang batil
Karena Yakjud dan Makjud itu bung
Telah tertulis dari Luh Mahfuz
Rahsia Tuhan yang susah di tempuh
Jangan karena Tahta
Sanggup bung tukarkan dengan agama

Sebagai teman
Hati-hati teman ku................

Sunday, November 25, 2007

Ada Yang Cerita.

Hidup bukanlah mudah
Sama sekali beza dengan falsafah
Juga tidak sama dengan sejarah
Yang pintar pun kekadang ada bodohnya
Yang cacat kekadang ada lebihnya

Semua ingin senang
Sudah hilang budi dan bicara
Meragut seperti di rumput kontang
Suap apa saja asalkan kenyang
Tidak di hitung peraturan
Yang mampu di telan
Hanya yang boleh di mamah

Kalau beza di katakan gila
Kalau sama photostat namanya
Itulah manusia
Pejam celik pejam celik
Akhirnya mati tanpa nama

Friday, November 23, 2007

Belum Tahu Apa Judulnya........

Dari mana kalian
Terus mengalir dan berhenti di sini
Apakah dari Yunnan sana
Dengan deretan sengsara
Kemudian
Berpenghuni di segenting kra lalu
Lengket di hujung tanjung.....


Jika tidak
Apakah kalian ini
Berkumpulan berarak turun
Yang dulunya di banjaran
Dalam sangkritnya hanya tercatat 'Hi"
Bergabung di sini menjadi 'Malaya'

Aku dengar yang baru
Asal dari Xian sana
Kemudian berakit ke kota lama
Dalam kuasa Raja Menora
Apakah itu kalian juga


Dulu riuh
Dalam jingga mahu bina nusantara
Bawa bahtera bawa segala
Hilang keris hilang tahta
Cucu merempat membuka manuskrip lama
Dengan doa di temukan mustika
Agar tahu dari mana asal mereka

Cukup cukup sudahlah
Kami sudah kering tenaga
Pencarian sudah di hujung usia
namun
Masih belum bersua apa-apa
Kabur dengan sejarah
Kerana ada yang direka-reka
Agar cucu dan zuriat yang ada
Tidak tahu mengenal bangsa

Wednesday, November 21, 2007

SANGKAKALA.

Bila kau menjelma bererti akhirlah dunia
Namun manusia ini masih leka
Tidak hirau dengan nama mu
Yang mampu memberhentikan setiap urat nadi
Melahirkan wanita tanpa cukup nisabnya
Lantas
Menjadikan manusia itu gila tanpa sebabnya

Nama mu saja sudah cukup mengemuruhkan darah yang sedia mengalir
Mengeruhkan wajah-wajah iman yang tawaduk dengan Khalidnya
Bagi mereka yang pernah berkhalwat dengan nurNya
Pasti gembira mendengar tiupan mu
Namun dalam gembira itu kan ada yang sengsara
Dengan duri ciptaan jahanam
Yang terpecah dalam 73 jalan
Yang berderai dalam iman yang tersendiri
Kononya
Itulah jalan 'ih dinas siroo tul mustaqim"

Qorie Afifi
22 Nov 2007

Wednesday, October 31, 2007

Segenggam Emas Sekalung Budi

Segenggam Emas Sekalung Budi


Hidup bangsa hiduplah bahasa kerana jiwa sesebuah bangsa di nilai dari bahasanya. Perbendaharaan Kata Siam-Kedah ini adalah merupakan asas kepada pengenalan sejarah bahasa dan perlu di beri perhatian kerana pernah menjadi bahasa istana di suatu ketika dahulu. Diharap asas yang sebagai permulaan ini sedikit sebanyak dapat menarik ramai peminat bahasa dan pengkaji untuk terus menyambung kesinambungan bahasa ini dengan lebih jauh lagi. Tidak lupa juga kepada semua yang membantu menjayakan buku ini , di ucapkan berbanyak terima kasih atas segala bantuan yang telah diberi. Istimewa untuk anak-anak dan isteri tercinta, terima kasih kerana sokongan dan kesabaran yang tinggi sehingga membuahkan asas perbendaharaan kata ini. Di akhir kata terima kasih buat bonda Salmah Hashim semoga Allah merahmati bonda sentiasa. Kepada semua pembaca terima kasih tak terhingga kerana sokongan anda dan terimalah ingatan dari saya :

Bahasa kalau pandai dipelihara malah ia lebih berharga dari permata


Qorie Afifi
Kayu Bangun Kg. Naa pija